JKKK Kampung Baru Bukit Sedanan

Gerak Daya Wawasan

Salam Aidil Fitri



Berbahagialah pada hari kebesaran ISLAM mengikut cara dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W tanpa melebihi batas kehendak ISLAM.

Semoga kedatangan Syawal yang mulia ini dapat memberi sinar keinsafan kepada semua muslimin dan muslimah Kg Baru Bukit Sedanan serta seluruh umat Islam di dunia.

Maaf Zahir & Batin.

Salam Merdeka Ke-52 & Salam 1 Malaysia

"Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan". Setelah 52 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.

Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 52 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

Catatan: Layari http://www.malaysiamerdeka.gov.my untuk sumber lengkap berkaitan kemerdekaan.

Maklumat Kawasan

Nama Kampung
:
Kampung Baru Bukit Sedanan
Daerah
:
Jasin
Mukim
:
Selandar
Kawasan Parlimen
:
P1351 Alor Gajah
Ahli Parlimen
:
YB. Datuk Wira Dr Fong Chan Ong
Kawasan Dewan Negeri
:
Asahan
Nama Adun
:
YB. R. Prumal
Pengerusi Jawatankuasa Negeri
Penerangan, Pengguna dan Pengangkutan

Lokasi Kg Baru Bukit Sedanan


Klik Kg Baru Bukit Sedanan untuk besarkan saiz peta.

Gotong Royong Perdana






Gotong royong ini diadakan pada hari Ahad 26 April 2009 tetapi seminggu sebelumnya pihak JKKK telah mengadakan gotong royong di kalangan ahli untuk persediaan pada hari gotong royong sebenar. Gotong royong perdana dirasmikan oleh YB ADUN Asahan R. Perumal.

Majlis gotong royong perdana disertai oleh penduduk Kampung baru bukit sedanan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Jasin, JKR Jasin, TNB Jasin dan anggota Balai Polis Selandar. Di sebelah petangnya pihak kesihatan telah membuat semburan asap.

Majlis bermula jam 8.30 pagi dimulakan dengan doa oleh Imam Hj Kasrin bin Saudi, ucapan pengerusi JKKK dan ucapan perasmian YB ADUN. Makan dan minum ketika gotong royong pula disediakan oleh perkumpulan wanita Kg BAru Bukit Sedanan.

Pihak JKKK mengucapkan ribuan terima kasih diatas kerjasama dari semua penduduk kg terutama pemuda-pemuda yang begitu ramai sekali menyertai dan menghulurkan bakti tenaga untuk kampung.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul



Majlis diadakan pada 15 Mac 2009 di Surau Kg Baru Bukit Sedanan

Surau Kampung Baru Bukit Sedanan

Sambutan Maulidur Rasul telah dipersetujui oleh AJK Surau Kg Baru Bukit Sedanan dan diadakan pada........ Sambutan dimulakan dengan ceramah perdana pada sebelah malamnya disampaikan oleh ustaz Abu Khir.

Selesai majlis ceramah para jemaah bergotong-royong memotong daging, bawang dan sebagainya untuk persiapan jamuan pada keesokkan harinya. Di sebelah pagi diadakan gotong rotong memasak oleh penduduk kampung di samping berjalan juga acara berzanji oleh perkumpulan wanita dan juga perarakan dari Sek Keb Seri Machap ke surau Kg Baru Bkt Sedanan.

Seterusnya majlis tahlil dan doa selamat diadakan diikuti dengan jamuan makan. Majlis berjalan lancar dan ucapan penghargaan ke atas seluruh penduduk Kg Baru Bukit Sedanan yang telah menghulurkan derma dan tenaga. Semoga Allah sahaja yang membalasnya.

Sukaneka KBBS





Hari Keluarga anjuran JKKK dan Pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri dan Belia Kg Baru Bukit Sedanan telah diadakan pada 1 Januari 2009. Acara bermula pada jam 9.00 pagi dengan acara senam robik, diikuti dengan acara merentas desa pemuda sejauh 7 km dan veteran sejauh 4 km. Peserta dilepaskan oleh YB ADUN Bukit Asahan En R. Perumal.

Ketika acara merentas desa berlangsung, acara melukis dan mewarna bagi kanak-kanak dijalankan dan disertai oleh lebih kurang 20 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan. Acara seterusnya adalah sukaneka dengan berbagai pertandingan dijalankan antaranya tiup belon paling besar bagi peserta wanita dan tiup belon paling panjang bagi peserta lelaki.

Hadiah disampaikan oleh Datuk Penghulu. Pihak JKKK mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penduduk Kg Baru Bukit Sedanan kerana kerjasama baik yang diberikan dalam menjayakan sukaneka ini.

Klik Kg Baru Bukit Sedanan untuk besarkan saiz peta.

Senarai Blog